Ahad, 20 Januari 2013

Ujian, Dugaan, Cubaan

Ramai yang mengatakan setiap kesusahan, kesakitan, kepayahan yang kita alami sebagai satu ujian daripada Allah Ta'ala sebagai cara Allah menguji keimanan dan sebagai tanda Allah masih menyayangi dan mengingati hamba-hambaNya. Ada yang menerimanya dengan redha dan ada yang sentiasa mengeluh dan mempersoalkan kenapa dia diuji sedemikian rupa. "Kenapa aku? Kenapa tidak orang lain?" akan sentiasa berlegar di dalam minda mereka.



Namun sesetengah manusia tersilap dengan menganggap bahawa ujian hanya datang dalam bentuk kesusahan, kesakitan dan segala macam keadaan yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Mereka lupa bahawa kesenangan, kegembiraan, kebahagiaan dan segala sesuatu yang menyenangkan hati juga sebagai satu ujian. Ujian untuk mengetahui adakah mereka akan bersyukur dengan segala nikmat pemberian Allah.

Malah Allah juga mencipta nafsu sebagai ujian untuk manusia. Tetapi berapa ramai yang dapat mengawal nafsu mereka daripada melakukan sesuatu yang boleh merosakkan jiwa.

Apabila seorang manusia ditimpa musibah sama ada disebabkan oleh keadaan atau berpunca daripada perbuatan orang lain, dia akan dinasihati bahawa dia sedang diuji dan harus menghadapinya dengan redha dan sabar.

Bagaimana pula dengan perbuatan yang menyebabkan musibah kepada orang lain. Kita dididik dengan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang lain. Berapa ramai di antara kita yang sebenarnya telah gagal dalam ujian seperti ini?

Apabila seseorang mula melakukan kejahatan, dia sebenarnya telah diuji melalui dua perkara iaitu niat dan peluang/kesempatan. Contohnya; seorang lelaki mahu mencuri. Niat untuk mencuri itu hadir dalam hatinya namun berniat itu sendiri tidak menyebabkan dia berdosa. Kemudian muncul pula peluang iaitu seorang yang cuai menjaga barangnya. Kecuaian orang itu adalah satu ujian untuk lelaki tersebut namun apabila lelaki itu mula mencuri, dia sebenarnya telah gagal menghadapi ujian. Sekiranya lelaki tadi mampu untuk mengawal dirinya walaupun melihat kesempatan yang ada, maka dia telah berjaya dalam ujian tersebut.

Berapa ramai makhluk yang bernama lelaki yang gagal mengawal hawa nafsunya melihat ujian yang dihadapinya iaitu WANITA.  Lelaki-lelaki ini akan memberi alasan mudah dengan menuduh keadaan wanita seperti berpakaian seksi atau menyalahkan wanita itu berseorangan sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal nafsu lalu terjadinya maksiat zina atau jenayah rogol. Sekiranya mereka memahami bahawa apa yang mereka hadapi adalah satu ujian maka mereka sudah tentu akan memilih untuk menjauhi wanita tersebut atau membakar jari mereka dengan api lilin untuk mengingatkan diri mereka bahawa Neraka itu lebih panas daripada api lilin tersebut.

Apabila kita melihat keburukan atau kesalahan orang lain, kita juga begitu cepat menuduh, mengumpat dan menghina tanpa kita sedari bahawa itu juga adalah ujian untuk kita berfikir dan mengambil iktibar agar tidak mengulangi kesilapan orang tersebut. Malah juga ujian untuk kita sama ada kita ini dapat menjadi saudara yang saling menasihati dan memberikan tunjuk ajar agar mereka dapat mengubah diri menjadi lebih baik,

Begitu banyak dugaan yang kita sedang hadapi namun adakah kita menyedari segalanya sebagai UJIAN?